16 February 2015

Sengsara Warisan

Buat Semua Pejuang Islam Sepanjang Zaman

Derita ini bukan idaman, tetapi ia sengsara warisan
akan terus tempuh ombak yang menyasak sebak lautan yang bergelora,
penuh karenah kerakusan manusia

Namun... apakah pilihan yang ada, dalam kembara sebuah agenda?
perjuangan sering mendesak pengorbanan dan keletihan..
cita dan cinta merakuskan airmata dan jiwa lara

Namun... perjuangan, keikhlasan, pengorbanan adalah keajaiban Tuhan
dalam gelora, kita mengecap bahagia..
dalam airmata, kita mengecap cinta..
dalam gawat, kita menikmat rahmat...
dalam cekal, kita mengenal tawakal..
dalam sentap dan senyap, tersingkap doa yang mustajab..

Di dataran ini... kita mengenal kesetiaan rakan dan teman
kemanisan persaudaraaan iman kerana Tuhan..

Dalam badai inilah... kita ingat akan sebuah matlamat yang tersemat
maka kudus iman di jiwa tidak akan berbelah dua..
dunia menjadi semakin kecil dan terpencil..
insan dan kuasa menjadi semakin kerdil..

Kita membawa pelita cahaya menempuh dunia luka
menanggung sengsara berat untuk kebahgiaan insan sejagat
mewarisi amanah Nabi dan sahabat yang berkat..

Inilah dia beban... tinggalan pejuangan yang sudah lama memakan korban
sakit perit mujahid dalam menikmati ketulusan tauhid
lurah pendakwah yang menempah susah dan pasrah
kita tempuh dan kita tempah..
bukan kerana rela.. namun jalan yang terpaksa..
bagi setiap yang bangkit membela suara langit..

Namun.. kita tetap menang, dan tetap gemilang..
kita tetap terbilang kerana kami pejuang..
jika tidak di dunia fana.. harapnya di syurga di perhentian sana..
maka.. derita ini bukan idaman, tetapi ia derita warisan..

Karya: Dr Mohd Asri Zainul Abidin

7 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

other site